Penggunaan Teknologi Pengesanan Halal Terhadap Produk Makanan: Kajian Menurut Perspektif Hukum Islam. [Website] (2015)
Abstract
Dengan kemajuan sains dan teknologi, penghasilan produk makanan sama ada yang diproses mahupun mentah telah berkembang dengan pesat. Berbagai ramuan dihasilkan dan kaedah baharu yang diterokai bagi menghasilkan produk makanan. Namun begitu, kecanggihan dan kemajuan teknologi turut dimanipulasikan oleh pihak tertentu bagi mengaut keuntungan hingga mengabaikan aspek halalan tayyiba dan keselamatan makanan yang disediakan kepada para pengguna. Sebagai contoh, kes pemalsuan makanan adalah salah satu daripada isu-isu sosio-ekonomi yang paling memberi dampak yang besar ke atas aspek spiritual, kesihatan fizikal, malah tradisi pemilihan makanan halal. Selain itu, isu pencampuran daging halal dengan daging haiwan yang dilarang dalam Islam seperti khinzir turut dilaporkan dalam pasaran. Lebih parah lagi, produk makanan yang mengandungi bawaan ancaman zoonotik seperti selesema burung (H5N1) dan bovine spongiform influenza (penyakit lembu gila) turut dipasarkan kepada para pengguna. Situasi ini menimbulkan rasa kebimbangan jangka masa panjang dalam masyarakat Islam. Ini kerana secara pandangan mata kasarnya, produk makanan tersebut sukar untuk dipastikan status halal haram serta susah untuk deria zahir mengenalpastinya. Keadaan ini telah mendorong para saintis dan penyelidik untuk menghasilkan dan membangunkan teknologi pengesanan halal. Selain dapat membantu dalam menangani masalah berbangkit ini, ia dapat membantu para ulama dalam menentukan halal haram sesuatu produk dengan lebih tepat. Walaupun ujian makmal menggunakan teknologi moden boleh mengesahkan ketiadaan bahan tercemar dengan bahan haram, tetapi keputusan ujian ini tidak boleh disandarkan sebagai sumber maklumat yang tunggal bagi menjamin kehalalan sesuatu produk. Namun, justifikasi saintifik dan hasil analisis makmal sedikit sebanyak memberi maklumat tambahan kepada ulama dalam menilai status halal sesuatu produk. Tugas pengesahan halal ini tidak boleh hanya bergantung kepada kepakaran dari golongan syariah semata-mata tetapi perlu melibatkan kepakaran dari bidang lain seperti teknologi makanan, kimia, dan veterinar. Isu-Isu Halal Haram Dalam Produk Makanan Perkembangan teknologi makanan yang berkembang pesat dalam sektor pembuatan makanan telah menghasilkan pelbagai variasi rasa, bahan serta kaedah sehingga sukar mengesan kehalalan menggunakan deria semata-mata. Pendedahan isu ini penting untuk perkembangan pesat teknologi makanan yang menuntut supaya para ulama dan saintis lebih peka dan prihatin dengan permasalahan yang timbul dan dapat ditangani dengan peredaran masa. Dalam masa yang sama, para pengguna tidak merasa waswas dalam pemilihan produk makanan.
Item Type: | Website |
---|---|
Keywords: | Teknologi Pengesanan Halal |
Taxonomy: | By Niche > Food Technology > Food Industry and Trade > Quality Control By Niche > Food Technology > Food Industry and Trade > Technological Innovations |
Local Content Hub: | Niche > Food Technology |
Depositing User: | Rizana Mohd Radwan |
Date Deposited: | 26 Dec 2024 09:01 |
Last Modified: | 26 Dec 2024 09:01 |
Related URLs: |
Actions (login required)
View Item |