Instrumen perbankan Islam di Malaysia: mampukah mereka mencapai maqasid shariah. In: Muzakarah Pakar Sistem Kewangan Islam, 23 Februari 2010, Institut Kefahaman Islam Malaysia. (2010)
Abstract
Di Malaysia, sistem kewangan yang wujud semenjak sebelum merdeka sebahagiannya diwarisi daripada sistem kewangan berasaskan riba. Ini terbukti dengan tertubuhnya beberapa bank perdagangan asing yang awal seperti Standard Chartered Bank (1875), The Hong Kong and Shanghai Banking Corporation (1884) dan Algemene Bank Negerland NV (1888) yang diterajui oleh doktrin yang dibawa oleh penjajah. Cara pemikiran dalam mengoperasikan bank perdagangan asing tersebut juga telah diterapkan ke dalam bank perdagangan tempatan yang awal seperti Kwong Yik Bank Bhd. (1913) dan The Pacific Bank Bhd. (1922).2 Pada akhir Disember 2009, penguasaan sistem kewangan berasaskan riba berdasarkan ukuran jumlah aset masih tinggi iaitu lebih kurang 82%. Doktrin ini diwarisi daripada pandangan St Thomas Aquinas,3 salah seorang ahli teologi abad ke 13 dan 14,4 yang telah berjaya membangunkan ekonomi Eropah. Beliau percaya bahawa pengembangan wang melalui pembayaran dan penerimaan bunga dapat meningkatkan aktiviti ekonomi.5 Walaupun pandangan ekonomi St Thomas Aquinas dan pengikut berikutnya seperti pemaham Keynes, klasik dan neo-klasik ada kesamaannya dengan pandangan ilmuan besar Abu Hamid AlGhazali (1058–1111), namun ilmuan besar tersebut mengemukakan idea bahawa wang boleh berperanan dalam ekonomi tanpa melibatkan riba.6 Pandangan tersebut membuktikan sistem kewangan tanpa riba (selepas ini disebut sebagai institusi kewangan Islam) boleh dilaksanakan. Contohnya, institusi kewangan Islam swasta yang muncul di Pakistan pada 1950an dan Mit Ghamr di Mesir pada 1963, dan Lembaga Tabung Haji di Malaysia pada 1963 dan Dubai Islamic Bank pada 1975. Oleh sebab itu, pada hari ini institusi kewangan yang terbentuk dibahagikan kepada dua jenis, iaitu sistem kewangan konvensional yang berasaskan riba dan sistem kewangan Islam tanpa riba. Kebelakangan ini, minat ahli ekonomi mengkaji kedua-dua sistem kewangan tersebut khususnya kajian terhadap sistem kewangan Islam amat meluas dan tertumpu kepada beberapa bidang antara yang utama ialah: (i) sistem kewangan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi; (ii) kepatuhan syariah instrumen yang ditawarkan.7 Persoalannya ialah adakah memadai dengan menyatakan instrumen yang ditawarkan oleh perbankan Islam patuh syariah. Sedangkan dalam kaitan yang serupa dalam solat umpamanya, solat yang dilakukan bukan sahaja sah (jika rukun dan syarat dipenuhi), tetapi juga objektif solat harus mencapai tujuannya, seperti kebaikannya ialah mencegah mungkar.8 Dalam berzakat juga, selain terpenuh syarat bagi orang yang membayar zakat, zakat juga mampu untuk memberi kebaikan: seperti membersihkan dan mensucikan harta (9:103). dan menghindarkan seperti kedekut (25:67). Maka, tujuan makalah ini ialah untuk memeriksa kemampuan instrumen yang ditawarkan oleh perbankan Islam dalam mencapai maqasid syariah. Namun begitu, dalam makalah ini, aspek rukun dan syarat bagi setiap instrumen dianggap telah dipatuhi supaya instrument tersebut patuh syariah. Untuk tujuan tersebut, pandangan beberapa ulama tentang maqasid syariah akan dibincangkan dahulu, sebelum menentukan kriteria maqasid syariah bagi menentukan kemampuan intstrumen perbankan Islam mencapai maqasid syariah.
Item Type: | Conference or Workshop Item (Paper) |
---|---|
Keywords: | Perbankan Islam |
Taxonomy: | By Niche > Islamic Banking > Banks and Banking > Finance |
Local Content Hub: | Niche > Islamic Banking |
Depositing User: | Ilya Nur Fateen Othman |
Date Deposited: | 27 Jun 2025 05:39 |
Last Modified: | 27 Jun 2025 05:39 |
Related URLs: |
Actions (login required)
![]() |
View Item |